Assalamualaikum..
Erm.. dah 3 minggu papa tak ada. Rindu nya. T.T
Cik Anie balik Ipoh minggu ni. Minggu lepas tak dapat balik sebab terpaksa kena kerja. Tu pun dalam hati tak terbendung rindu rasa nya. Ermm.. Tak tahu nak gambar kan macam mana.
Papa adalah lelaki yang sangat baik.
Sangat caring.
Sangat pentingkan anak-anak. Dan mama terutamanya.
Segala keperluan kami, dia dulukan.
Bila kami buat kesilapan, dalam berleter, tetap juga dia bantu dalam bermacam cara.
Dia tak pernah bezakan anak, menantu, cucu.. malah anak murid, anak angkat semua di layan sama rata.
Beberapa bulan lepas, semasa dalam fasa awal nak didik hati untuk redha, soalan yang sering dalam kepala Cik Anie.. 'Aku dah nak kehilangan bapak ke? Apa rasa hidup aku tanpa dia? Kuat ke aku?'
Tapi bila dah di didik hati ni, tambah pula papa pergi hari baik, sakaratulmaut dia pun tenang, urusan semua sangat smooth.. Allahu Akbar! Apa lah yang kami mahu lagi? Itu pun kami sudah sangat syukur..
Dari mana Cik Anie nak mula? Tetiba intro dah duduk tengah cerita.. hihi.. *Cerita ini adalah catatan untuk Cik Anie kenang dan ingat sampai bila-bila*
Minggu yang papa meninggal tu, hari Khamis (20/10/2016), lepas je kerja terus Cik Anie bawak laju-laju balik Ipoh. Hati tu rasa macam... entah la. Tapi nak cepat sampai je rasa nya.
Sampai Ipoh, sedang elok time nak mandi papa. Masa tu papa duduk atas kerusi malas tu. Papa masa tu dah 3 hari, tak buka mata, tak buka mulut. Tak bercakap, apa pun tak. Masa di bukakan pampers, tengok ada najis. Hitam. Tapi Cik Anie tak tahu itu tanda nya. Bila nak di bersihkan punggung, kena cempung sikit peha nak angkat, tengok keluar lagi najis. Time tu menyeringai muka papa tahan sakit. Mata pun dah sampai terbukak! Sedih sangat.
Oh ya, badan papa sangat panas. Macam demam. Especially dekat tempat ketumbuhan tu. Menurut Miss Wong, itu sebab ketumbuhan tu yang panas. Macam bisul la. Kan panas sekeliling nya.. Tak tahu nak tanya macam mana keadaan papa sebab dah tak bercakap kan..
Malam tu Cik Anie ingat nak teman papa tido. Tapi nak kena tidur kan dulu anak-anak dara dan teruna ni. So Cik Anie pesan pada mama, bagi Cik Anie tidur depa dulu. Nanti Cik Anie ganti mama. Tapi tengah malam terjaga tengok mama tidur atas kerusi malas tu tepi papa, sambil pegang tangan papa. Sebak Cik Anie tengok nya. Nak di kejut mama pun rasa tak sampai hati. Memang malam tu byk kali terjaga untuk tengok mama dan nafas papa.
Sampai lah Subuh. Mama kata nak naik sembahyang. So Cik Anie duduk tepi katil papa. Nampak lena sangat tidur nya. Tenang sangat.
Pukul 7 lebih macam tu Abang Azmel dan Kak Wati sampai untuk bantu mandi papa. Abang kata, tak payah mandi lah pagi ni. Kita tukar pampers dan lap-lap badan papa. Ye lah, nak di angkat-angkat dari katil ke kerusi malas, mandikan, lepas tu angkat semula ke katil, sakit dia. Kesian juga. Bila di salin pampers, ada najis sikit. So macam semalam, angkat kaki nya sikit untuk di cuci punggung nya dari najis. Tapi muka papa dah tak ada reaksi sakit. Cik Anie masih tak perasan tanda kedua tu..
Selesai bersih punggung, Cik Anie lap badan dari kepala sampai kaki, buat dengan Kak Wati. Bila tiba tang kaki, nampak kaki makin jatuh. Tapi, Cik Anie masih lagi tak perasan tanda ketiga tu. Cik Anie ingatkan memang begitu.. T.T
Bila dah di pakaikan baju, mama cuba nak bagi makan susu protein untuk papa lapik perut. Jangan kosong. Tapi banyak yang keluar meleleh tepi dari masuk mulut dan telan. Cik Anie kata, mungkin papa tak larat sangat. Bagi papa tidur dulu lah. Tapi mama cuba juga nak bagi. Sampai lah nampak macam papa dah tak telan dah susu tu.. Baru lah stop dan letak tepi. Tengok papa lena sangat masa tu. Nak di beri ubat pun nampak tersangat lena. So Cik Anie fikir tunggu dulu.
Cik Anie lepas tu naik atas, kemas almari papa. Kemas barang dia, dokumen dia dan sebagainya. Buat seorang. Tu jumpa macam-macam khazanah. Rupanya papa simpan semua pasal kami. Gambar, dokumen, even jam pertama Cik Anie beli masa form 5 dulu dengan duit belanja yang di kumpul-kumpul, pun dia simpan. Cik Anie ingat kan dah hilang kena buang ke apa sebab dah rosak. Rupa nya papa simpan. Papa simpan sijil berhenti sekolah Cho (kakak sulung)! Korang bayangkan.. sentimental value agak nya, dia sayang nak buang.. dan Cik Anie rasa banyak turun pada Cik Anie.. hihi.. sayangkan nak buang. Banyak kenangan.
Pukul 11 macam tu mama naik tolong kemas sama.. Ingat lagi, bila jumpa sesuatu, kami ketawa sama-sama sebab lucu bila ingatkan papa boleh simpan semua tu..
11.30 macam tu kak Wati naik beritahu nak ambil anak-anak balik sekolah. Papa baru lepas bagi dua jenis ubat. Semua sekali 3 jenis. Kak Wati ada beritahu, papa nafas bunyi. Jadi mama pun turun untuk tunggu papa pulak. Cik Anie pun masa tu tengok jam dah nak dekat pukul 12, rasa macam nak rehat dulu lah. Lenguh pinggang semua..
Time nak turun tu la Balkis (anak Kak Cik) berlari naik, cakap opah panggil. Cik Anie pun turun-turun je tengok papa nafas macam berkahak kat tekak tu. Cik Anie dok fikir, papa tak telan ubat ke? Dalam keadaan kalut, Cik Anie whatsapp dalam family group, macam mana nak buat, rakam video nafas papa dan sebagainya. Kak Cik pun dah on the way balik, dah call Miss Wong tu suruh datang tengok. Dah call ambulance untuk ambik papa bawak hospital. Hati Cik Anie dah terdetik masa tu, gaya macam papa nak pergi dah ni. Sebab teringat arwah ayah mertua meninggal dulu begitu.
Sementara nak tunggu Miss Wong tu datang, dia bagitau, suruh mengiringkan papa. Itu akan membantu papa bernafas. Jadi kami 3 beranak ni sama-sama mengiringkan papa dan letak bantal belakang badan papa. Alhamdulillah.. bunyi kahak dah tak ada. Nampak nafas papa pun macam stabil. Kak Wati pun dah kalut nak ambil Yasin baca tepi papa. Cik Anie pulak, macam lost sekejap. Tangan pegang Yasin, tapi mata dok tengok dada dan mulut papa. Dari nampak tenang tu, tapi kenapa macam panjang-panjang pulak papa lepas nafas dia.. Rasa pelik. Cik Anie pun cakap pada mama dan Kak Wati, kenapa papa nafas macam pelik. Baru lah terperasan kuku tangan papa dah biru. Baru teringat nak selak kaki tengok, dah biru.. Ketumbuhan kat leher tu, urat darah sampai timbul, warna hitam.. Sakitnya sakaratulmaut tu.. T.T
Masa tu kami dan anak-anak buah dah mula menangis. Mama sempat bisik kat telinga papa. Mama usap muka papa dengan air. Nampak 3 kali, papa tarik nafas, papa lepas panjanggggg sangat. Dan kali ketiga, saat nyawa keluar dari badan, terdengar seperti keluhan. Seperti melepaskan beban kelegaan. Muka papa tenang. Waktu tu 12.40 tengahari. Tenang sangat. Family dah di maklumkan, supaya balik. Kalau boleh nak segerakan kebumi. Tak mahu seksa jenazah.
Jemaah surau, kawan-kawan papa tanya nak mandi di rumah atau surau. Mama mintak di surau. Sebab papa berjemaah di situ. Jadi lepas Asar, jenazah di bawa ke surau Mujahidin Pekan Razaki.
Atas permintaan kami, mereka bagi kami anak, menantu dan cucu mandikan papa buat kali terakhir dengan bimbingan seorang pakcik (kawan papa juga).. Bila tengok jam, masa tu pukul 6.. Memang selalu pun waktu itu kami mandikan dia. Khidmat kami yang terakhir pada papa.. T.T muka papa sangat tenang. Seperti sedang tidur yang lena. Senyum.
Pakcik tu kata, dah ramai jenazah dia mandikan. Tapi ni kali pertama berebut dan ramai yang nak mandikan jenazah.. Selesai mandi dan kafan, jenazah di angkat masuk surau. Di beri peluang pada anak menantu cucu untuk cium dahi nya.. Lepas tu kami sembahyangkan jenazah..
Jenazah nak di kebumi lepas Maghrib. Jadi sementara tunggu Maghrib, kami baca Yasin dulu. Bila Maghrib je, MasyaAllah, ramai sangat yang datang. Lepas Maghrib, lagi sekali sembahyang jenazah. Dan terus di bawa ke tanah kubur Kampung Melayu.
Masa di kubur, time nak masuk kan jenazah ke liang lahad, kata Salman, masuk-masuk je terus elok mengiring. Macam papa tau-tau je.. Mudah sangat urusan nya. Bila nak di kambus tanah tu, semua nya mudah. Cuaca pun elok.
Alhamdulillah. Syukur. Lega dah lepas tanggung sakit kanser tu. Papa pergi hari Jumaat, hari yang baik. Bulan Muharam pulak tu. Urusan papa sangat mudah. Mungkin bahagian papa, sebab masa hayatnya, papa mudahkan orang lain.
Mama? Mama ok. Tabah sangat. Cuma mama tak boleh mengajar tuisyen waktu malam dah sebab terbayang papa tengah mengajar di bahagian tepi rumah.. Kami anak-anak menantu dan cucu pun rindu sangat pada papa. Balik Ipoh, Cik Anie round satu rumah. Sampai bilik papa mama, duduk dulu renung keliling bilik. Rindu nya.. Terasa papa masih ada dengan kami..
Rehat lah pa. Kami semua sayang papa. Rindu sangat-sangat. Moga Allah ampun kan dosa-dosa papa. Dan tempatkan papa di kalangan orang-orang beriman dan beramal soleh..
We will always love u. And miss u.
Cik Anie..